: preg_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in
PERGINYA SEORANG TEMAN
Suasana kampus kekal ceria dengan pemandangan pohon – pohon nan menghijau rendang. Bunga – bunga renek mekar indah di tepian taman. Mahasiswa pula penuh minat dan bersemangat bersama buku – buku yang tak lekang di tangan. Alangkah indahnya suasana kampus ini.
Dalam mengejar ilmu, tidak lupa rakan – rakan seperjuangan. Andai tiada teman, sunyilah kamar jiwa. Melalui temanlah ranjau berduri di kampus ini dapat dilalui . Di samping iringan doa restu ibu bapa tercinta dan berkat rahmat Ilahi. Namun dalam menempuh saat –saat manis bersama teman, terselit jua secalit kepahitan….ujian daripada Yang Maha Kuasa.
Empat jejaka asyik seiringan. Tak kira di mana berada, mereka pasti bersama. Kebetulan mereka berada dalam bulan Ramadhan Al- Mubarak. “ Kau tak balik kampung ke, Lee?” tanya Awang. Rosli geleng kepala, “ Takda duit, lah.”
“Bila duit kita nak masuk, ha? Aku dah kering ni.” celah Naim pula.
“Entahlah,Im. Lee.., jangan sedih sangat. Aku taulah kau anak manja.Sesekali berjauhan, apa salahnya?” kata Suhaimi. Rosli tampak muram.
Awang cuba ceriakan suasana, “Ha…, inilah masanya nak hantar kad raya. Alamak, pakai duit lagi. Im, kau tau tak? Mak we aku tu suka merajuk, tau?Kalau aku tak hantar kad, tahu apa dia buat?”
“Tak tahu,” celah Naim.
“Nak tahu? Ha…pertama,dia takkan mandi satu hari. Lepas tu dia termenung kat meja. Lepas tu…dia tidur sambil hisap ibu jari. Lepas tu.. kih, kih,..lepas tu..kih,kih,kih…” Awang tak dapat teruskan kata- katanya.Dia terus ketawa.
“Perli akulah, tu. Nanti kau.”Rosli terus kejar Awang, “Mana kau nak lari, ha?” Naim turut ketawa, “Baru aku faham. Kau perli Rosli rupanya,kah,kah,kah..” Suhaimi hanya tersenyum melihat telatah dua rakannya itu.
Begitulah keadaan mereka setiap hari. Ada- ada sahaja telatah yang menggelikan hati. Tak kurang pula yang ‘perang dingin’, tapi.. sekejap sahaja.Masing- masing saling memujuk.
Pasar Ramadhan memang menjadi tumpuan semua pelajar , terutamanya pelajar UPM. Mata tak jemu menjeling ke kanan , ke kiri, rasa nak beli semua yang ada kat situ. Awas, nafsu memang inginkan itu semua. Tapi yang nak diisi sekadar menghilangkan rasa lapar di siang hari. Cuba kawal nafsu…
“Lambat lagi ke nak berbuka ni?” Awang asyik memandang jam tangannya. “Kau ni Awang, sabarlah dulu. Macamlah dia sorang yang puasa.” kata Naim.
“Lee, makanlah, ya?Ini aje yang dapat aku belikan.” Suhaimi pandang Rosli yang dari tadi asyik termenung. “Mie…, aku.. aku sebenarnya terharu . Kau dah banyak tolong aku. Aku tahu kau takda duit, tapi kau tolong juga aku.”
“Lee, kita kan dah lama berkawan. Susah senang kita tanggung bersama. Hari ini aku tolong kau. Mana tahu, esok lusa kau tolong aku pulak. Dah Azan tu, baca doa, Awang.” sambil menadah tangan.
“Aku tersilap baca, tegur ya?” tersengeh. “Buat lawak pulak.” Naim menjeling. Mereka sama- sama berbuka puasa.
Hari-hari yang berlalu dirasakan pantas. Tak lama lagi Syawal akan menjelma. Masing- masing berebut untuk mendapatkan tiket balik kampung.
“Nah, tiket kau.” Suhaimi hulur, Rosli teragak-agak untuk mengambilnya. “Ambil, aku ikhlas ni.Nanti, tak pasal- pasal menangis tak dapat balik.” tiket diletak dalam kocek baju Rosli.
“Anak manja katakan…”usik Naim pula.
Rosli terus peluk Suhaimi erat, terkejut dibuatnya.
“Terima kasih banyak- banyak, Mie. Kamu semua adalah rakan baik aku dunia akhirat. Ni yang nak buat aku nangis ni…”
Naim dan Awang turut terharu, mereka saling berpelukan dengan Rosli.
“Bila dapat duit nanti, aku bayar ya?”kata Rosli. Suhaimi senyum, “Tak kisahlah, Lee. Tak bayar pun tak apa.”
Naim menjemput tiga rakannya itu untuk berbuka puasa di Bangi. Rakannya setuju sahaja. Keluarganya amat mengalu- alukan kedatangan mereka.
“Makanlah banyak sikit, Awang. Kau tu dahlah kurus. Mak aku masak special untuk kita, tau?” kata Naim. Awang terus sental , lauknya pedas- pedas belaka.
“Alamak,” Awang tidak duduk diam. Dia cuba menahan sesuatu. “Kenapa, Awang?” tanya Rosli. Awang hanya sengeh.Tiba- tiba…………
“Ppuut…puut…put..put…tuut… puutt….” merah padam muka Awang.
“Err…aku tak tahan, he..he…”cuba menahan malu. Nasib baik hanya ibu dan adik lelaki Naim yang ada. Ibunya hanya tersenyum, “Makan nak. Mak cik tak kisah.”
Selesai makan Awang terlebih dahulu minta diri, “Aku balik dululah.” “Suka- suka je dia kentut tadi. Malu aku.”kata Naim.
“Aku tak boleh tahan, bodoh.Dahlah, aku balik dulu.” terus start enjin motornya dan berlalu dari situ.
“Im, kami pun minta diri dululah. Nak solat terawih pulak.” Suhaimi dan Rosli bersalaman.
“Terima kasihlah,Im. Kalau ajak, nak lagi…” seloroh Rosli pula.
Malam merangkak perlahan, bulan pula kelihatan indah di balik awan. Rosli dalam perjalanan pulang dari masjid, tiba- tiba dia terdengar namanya dipanggil orang.Badannya mula menggigil, “Siapa pulak panggil nama aku ni….” matanya mengintai- intai di sekitar kawasan semak.
“Lee…..”sayup kedengaran. Rosli terkejut lagi. Dalam ketakutan itu, tiba- tiba tercongong kepala Awang di sebalik semak. Hampir terlompat Rosli, “Opocot, mak engkau. Kau, Awang?Terkejut aku dibuatnya. Apa kau buat dalam semak tu? Mana motor engkau?”
Muka Awang berkerut, “ Aku tumpang Mamat tadi. Tak pasal- pasal sakit perut. Kau tahu, aku terkincit dalam kain ni. Tumpangkan aku balik. Aku janji, aku akan basuh motor kau. Tolonglah…”
Rosli kasihan melihat Awang, “Oklah, cepat naik. Tapi duduk jauh- jauh sikit. Eeii…busuknya. Dah besar pun masih buang merata.”
“Kau perli aku ni..” kata awang. “Tahu marah…” Rosli ketawa.
Cerita lucu itu segera dapat dihidu oleh rakannya. Mereka sakit
perut gelakkan Awang . “Gelak puas-puas.” Awang muncung sahaja.
“Ala, raya dah dekat. Tak baik bergaduh. Kau tahu, duit dah masuk tau?” kata Naim. “Iya? Lee, apa lagi? Jom kita serbu ….” Awang kembali ceria. Rosli asyik memerhati Suhaimi yang sedang berkemas.
“Mie, kau nak ke mana ni?”
“Aku terpaksa balik kampung. Ayah aku tak sihat. Lee, kau pakailah baju aku ni pada MMMR nanti, ya? Aku tahu kau sukakannya.” perwatakannya pelik.
“Aku tak boleh terima, Mie. Kau dah banyak berbudi,” Rosli serba- salah.
“Aku bagi, kau ambil ajelah. Kawan- kawan, aku minta maaf kalau ada menyinggung perasaan kalian.Selamat hari raya.” terus memeluk rakan- rakannya yang kehairanan.
Selang beberapa hari, Naim mendapat panggilan telefon dari rumah Suhaimi.Dia segera menemui rakannya. Wajahnya tampak sedih.
“Kawan-kawan, Mie…”kata-katanya terhenti.
“Bila dia nak balik?” tanya Rosli. Naim menahan sebak di dada, “Dia takkan balik lagi, Lee. Mie baru meninggal, kena demam panas.Isk, isk..Lee…” terus memeluk rakannya.
“Innalillahiwainnailaihirajiun…”Awang mengucap panjang.
“Patutlah lain macam je perangainya hari tu.”kata Naim lagi. Rosli termenung , wajah Suhaimi jelas terbayang di matanya.
“Semoga rohnya dicucuri Rahmat, amin…” air matanya menitis.
Persahabatan yang suci itu lahir dari hati yang murni . Begitulah, walau sepahit mana ujian yang mendatang, ikatan persahabatan tetap utuh dan takkan terputus. Biarpun maut memisahkannya, iringan doa tetap dititipkan buatnya…..
Nukilan : rishal