Mari kita cuba memahami kefahaman yang ada pada seorang sahabat yang bernama Abuddardaa' Uwaimar bin Zaid r.a..
Daripada Adh-Dhohhaak, beliau berkata, Abuddardaa' r.a.juhhaal (orang-orang jahil) kalian tidak mahu belajar?" Dan aku melihat kalian, sesungguhnya kalian telah begitu sangat menghadap, memberi perhatian dan bertungkus lumus ke atas perkara-perkara yang telah ditakafulkan untuk kalian dengannya (perkara-perkara yang telah dijamin dengannya untuk kalian), walhal kalian telah meninggalkan perkara-perkara yang kalian diperintahkan dengannya! (wa taraktum maa umirtum bihi!).
Ketahuilah... (wahai saudara-saudara semua!). Sesungguhnya dahulu telah ada kaum yang begitu hebat membina bangunan-bangunan, dan mereka telah mengumpul begitu banyak harta-harta, kekayaan-kekayaan dan aset-aset, dan mereka telah membuat wawasan-wawasan yang begitu hebat sekali. Tetapi, bila mereka memberi perhatian dan bertungkus lumus ke atas perkara-perkara yang telah dijaminkan, dan mereka meninggalkan apa yang diperintahkan kepada mereka, maka datanglah bala dan azab ke atas mereka. Maka jadilah bangunan-bangunan (yang tinggi-tinggi dan besar-besar) mereka seperti kubur-kubur ratanya, dan jadilah wawasan-wawasan dan cita-cita mereka sebagai tinggal angan-angan sahaja, dan jadilah harta-harta kekayaan dan aset-aset mereka binasa dan hancur berderai!
Ketahuilah... (wahai saudara-saudara semua!) Maka hendaklah kalian belajar (mengambil i'tibar)! Dan hendaklah kalian mengajarkan! Maka sesungguhnya 'alim itu (orang yang 'alim) dan muta'allim itu (orang yang belajar) dari segi pahala sama sahaja! Dan tidak ada khair (kebaikan) pada manusia selepas mereka berdua!
Begitulah terjemahan kasar daripada kitab Sifah As-Sofwah oleh Al-Imam Ibnu Al-Jauzi rah.a., Jilid 1, halaman 628 & 629.
Sebenarnya Abuddardaa' r.a. telah dilantik oleh Sayyidina 'Umar bin Al-Khattaab r.a. sebagai seorang qaadhii di Damsyiq. Jadi, bila beliau r.a. melihat orang ramai di Damsyiq sana begitu sibuk dan asyik dengan projek-projek perumahan dan binaan, begitu sibuk dan asyik dengan usaha-usaha pembuatan, pengairan/saliran dan pertanian serta sebagainya sehingga lupa dengan perintah-perintah Allah s.w.t., maka beliau pun terus bangun dan memberi nasihat kepada mereka supaya menyedari matlamat-matlamat asas dalam kehidupan dunia yang tersangat sementara ini dan supaya mereka mengutamakan perintah-perintah Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w. daripada segala yang lain (mengikut keterangan-keterangan dari kitab-kitab yang lain lagi).
Lantaran itu, kalau kita benar-benar sayangkan diri kita, keluarga kita, kampung kita, negara kita yang comel ini dan umat ini, marilah kita benar-benar meneliti dan mengamati nasihat-nasihat Abuddardaa' r.a. di atas dengan sebenar-benar penelitian dan sebenar-benar pengamatan. Dan marilah kita benar-benar beramal dan benar-benar menyampaikan kepada yang lain sebelum terlambat... sebelum bangunan-bangunan/struktur-struktur yang selama ini kita telah merekabentuknya, membinanya dan menghiasinya runtuh dan hancur menjadi kubur-kubur, sebelum harta-harta kekayaan dan aset-aset kita binasa berderai, sebelum wawasan-wawasan, cita-cita, visi-visi dan misi-misi kita tinggal menjadi angan-angan Mat Jenin belaka!
Dan yang paling penting ialah sebelum nyawa kita melayang dari badan...
