RF kali ini mengajak kita sama-sama merenung dengan penuh renungan yang mendalam akan penerangan seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang bernama Ibnu Mas'uud r.a. (iaitu Abdullah Ibnu Mas'uud r.a.).
Ibnu Mas'uud r.a. menjelaskan... (mafhumnya)...:
"Bagaimana kamu nanti, apabila FITNAH telah meliputi kamu semua, (di mana) orang-orang tua (dewasa) akan terus bertambah tua dalam FITNAH itu, (di mana) kanak-kanak akan terus subur membesar dan menerima asuhan dalam FITNAH itu, (di mana) manusia (orang ramai) akan mengikuti malah berlumba-lumba untuk jatuh dalam FITNAH itu, malah mereka akan menganggap dan menjadikan FITNAH itu sebagai SUNNAH.
Apabila (ada golongan yang) cuba untuk mengubah/membetulkan FITNAH itu atau apabila (ada golongan yang) cuba beramal dengan amalan lain (iaitu amalan yang sebenarnya) dan tidak dengan amalan FITNAH itu, maka dikatakan (kepada golongan tadi): Haazaa munkar (maqsudnya: Inilah adalah suatu perkara mungkar)."
Lalu ada seorang bertanya kepada Ibnu Mas'uud r.a.... (mafhumnya)...: "Makabilakah akan terjadinya sedemikian rupa, wahai Abdullah!" Jawab Ibnu Mas'uud r.a.... (mafhumnya)...: "Apabila sedikit sahaja orang-orang yang amanah ada di kalangan kamu, dan apabila begitu banyak/ramai sekali para umaraa' (para pemerintah/para pemimpin) ada di kalangan kamu, dan apabila sedikit sahaja para fuqaha' (orang-orang yang benar-benar mengerti dan memahami agama) ada di kalangan kamu, dan apabila begitu ramai sekali para qurra' (qari-qari) (tetapi tidak mengerti apa yang dibaca mereka) ada di kalangan kamu, dan apabila dunia dicari dengan menerusi amal akhirat, dan apabila mereka (iaitu orang-orang yang berada di zaman FITNAH itu) belajar/memahami ilmu bukan atas maqsud agama.
Maka ketika itu akan ada para umaraa'/para pemimpin/para pemerintah (yang akan memerintah) ke atas kamu semua, andaikata kamu menta'ati mereka maka mereka akan menyesatkan kamu, dan andaikata kamu mendurhakai (tidak menta'ati) mereka maka mereka akan membunuh kamu."
Maka orang (yang mendengar penjelasan Ibnu Mas'uud r.a.) itu pun bertanya... (mafhumnya)...: "Maka apakah yang akan engkau perintahkan kepada kami (kiranya kami berada di zaman itu), wahai Abdullah!" Jawab Abdullah Ibnu Mas'uud r.a.... (mafhumnya)...: "Kun hilsan min ahlaasi baitika wa illaa fannaaru aulaa." (maqsudnya: Jadilah kamu sebidang tikar usang daripada tikar-tikar usang yang ada di rumahmu, kalau tidak demikian maka api neraka adalah lebih layak untuk kamu!!) !!
Lalu orang (yang bertanya) itu berkata... (mafhumnya)...: "Engkau telah membunuh daku, wahai Ibnu Ummi 'Abd!" [Ibnu Ummi 'Abd adalah nama gelaran bagi Abdullah Ibnu Mas'uud r.a.].
Bagaimana perasaan dan pengertian antum setelah meneliti dengan sebenar-benar penelitian akan penerangan Ibnu Mas'uud r.a. itu?
Begitulah perihal dan situasi yang telah dijelaskan oleh beliau r.a., di mana perkara yang mungkar dan fitnah diterima sebagai sunnah dan diamalkan oleh manusia, sementara perkara yang ma'ruf dan sunnah pula diterima sebagai mungkar dan fitnah serta ditentang oleh manusia.....!!
Aduhai...
Nampaknya terpaksalah kita bersifat seperti sebidang tikar yang usang yang terletak di mana-mana penjuru rumah kita! Atau bagaimana?
Satu soalan: Apakah sifat-sifat atau ciri-ciri sebidang tikar usang yang terletak di dalam rumah kita? (Keee......tak ada seorang pun di antara kita yang mempunyai sebidang tikar usang/buruk/tua/lama di rumah masing-masing, kerana semua tikar/carpets adalah baru-baru dan standard belaka....?)
Sesungguhnya setiap pesanan, petunjuk dan arahan daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat r.a. adalah tidak boleh dipandang ringan. Pesanan-pesanan, petunjuk-petunjuk dan arahan-arahan ini adalah bagaikan lampu-lampu yang menerangi kegelapan malam. Semoga kita sama-sama mengambil i'tibar......
Wallaahu a'lam. Wassalaamu'alaikum wrb.,
Al-faqiiru ilallaah.
