Ka'ab Al-Ahbaar (juga dikenali sebagai Abuu Ishaaq) rahimahullah adalah dahulunya seorang Yahudi, kemudian beliau telah memeluk Islam. Beliau telah datang ke Madinah dan kemudian keluar ke Syam serta tinggal di Hims. Beliau rahimahullah telah mengambil sanad daripada 'Umar bin Al-Khattab rahimahullah, Suhaib rahimahullah, dan 'Aisyah rahimahullah. Beliau telah wafat di Hims dalam tahun 32H semasa khilafah 'Uthman rahimahullah.
Berikut ini adalah antara permata yang ditinggalkan untuk kita:
'Abdullah bin Buroidah rahimahullah telah berkata: Telah berkata Ka'ab Al-Ahbaar rahimahullah:
Maa karuma 'abdun 'alallaahi 'azza wa jalla illaa zaadal balaau 'alaihi syiddah, wa maaa'too rojulun zakaatan fanaqosot min maalihi, wa laa habasahaa zaadat fii maalihi, wa laasaroqo saariqun illaa husiba lahuu min rizqihi.
[Pengertiannya kira-kira: Tidaklah Menjadi Mulia Seorang Hamba Di Sisi Allah 'Azza Wa Jalla Melainkan Bertambahlah Balaa' (Ujian) Keatasnya Secara Bersangatan, Dan Tidaklah Memberi Seorang Lelaki Akan Zakat Lalu Berkuranglah Hartanya (Maksudnya Zakat Seseorang Itu Tidak Akan Menyebabkan Berkurang Hartanya), Dan Tidaklah Menahan Ia Akan Zakat Lalu Bertambahlah Hartanya (Maksudnya Bukanlah Dengan Sebab Tidak Keluar Zakat Itu Hartanya Menjadi Bertambah), Dan Tidaklah Mencuri Seorang Pencuri Melainkan Diberikan "Kredit" Baginya Daripada Rezeqinya].
Begitulah terjemahan kasar daripada kitab Sifah As-Sofwah, oleh Al-Imam Al-'Aalim Jamaaluddin Abil Faroj Ibnu Al-Jauzi rahimahullah, jilid 4, halaman 203 dan 204, Daarul Ma'rifah, Beirut, Lubnan.
Antara kesimpulan yang dapat diambil adalah kenyataan bahawa:
Kemuliaan seseorang hamba di sisi Allah SWT adalah berkadar dengan kebersangatan balaa'/ujian yang dihadapi atau dialaminya. Semakin besar balaa' yang dihadapinya dengan penuh kesabaran, maka semakin bertambah mulialah dia di sisi Allah SWT.
Bila kita menyebut balaa'/ujian tentulah luas maknanya. Salah satu daripadanya adalah kefaqiran. Dan antara lain, menerusi ujian kefaqiran inilah maka para Nabi alayhissalam mendapat kemuliaan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Berthabit dengan ini, disalinkan semula penerangan 'Abdullah Ibnu 'Umar rahimahullah dari RF 66, seperti berikut:
'Abdullah Ibnu 'Umar rahimahullah telah meriwayatkan daripada Nabi sallallahu alaihi wasallam bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam telah bersabda....(mafhumnya kira-kira)...:
Sesungguhnya makhluk yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah al-fuqara` (orang-orang yang faqir) kerana makhluk yang paling dicintai oleh Allah SWT itu adalah al-anbiyaa' (para nabi), Maka Allah SWT menguji mereka dengan kefaqiran.
Sehubungan dengan ini, kita diwajibkan berdoa:
IHDINASSIROOTOL MUSTAQIIM. (Al-Faatihah, ayat 6).
[Pengertiannya: Hidayahkanlah kami akan jalan yang mustaqiim].
Secara ringkas (seperti sama-sama telah kita maklumi), jalan yang mustaqiim ini adalah jalan atau cara hidup yang telah dilalui oleh golongan PARA NABIYYIIN/NABI (Al-ANBIYAA'), PARA SIDDIQIIN, PARA SYUHDAA', PARA SOOLIHHIIN DAN PARA MALAAIKAT. [Sila lihat TANWIIRUL MIQBAAS MIN TAFSIIR IBNI 'ABBAAS rahimahullah atau lain-lain].
Nah di sinilah perhitungan kita... Nah di sinilah perlu kita perbetulkan mindset kita... bahawa menerusi kesabaran yang tinggi dan mantap dalam menghadapi kefaqiran/al-faqr (seperti yang telah dijelaskan oleh 'Abdullah Ibnu 'Umar rahimahullah di atas) dan menerusi ASY-SYIDDAH (kesengsaraan, kesukaran, kesusahan, kesempitan dan keperitan hidup) kerana agama Allah SWT itulah maka para Nabi/Nabiyyiin (alayhissalam) telah diangkat/dipilih menjadi hamba Allah SWT yang paling dicintai. Dan hakikat ini tentulah terkandung dalam doa IHDINASSIROOTOL MUSTAQIIM. Dan melalui jalan yang sama (atau paling kurang mirip-mirip sama) kita kena tempohi...
Adakah kita bersedia untuk melalui jalan itu?
Untuk itu, apakah kita akan meneruskan usaha-usaha pengumpulan harta duniawi kita? Atau melipatgandakan rantaian agenda duniawi kita? Atau masih lagi dibuai alun untuk mendapatkan kemasyhuran dan gah duniawi? Atau bagaimana...!?
Semoga kita sama-sama mengambil i'tibar.
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Al-faqir ilallah.
Masuka...
