Mari kita teruskan untuk bersama Uwais rah.a.
- Bilakah Kawan Menjadi Lawan?
- Sumpah Uwais rah.a untuk bangkit dengan kerja-kerja agama di tengah masyarakat ramai biar sekali pun ramai yang menentang!
(Perawi, seperti dalam RF 158) telah berkata: Maka telah datang seorang lelaki kepada Uwais rah.a lalu bertanyakannya...(mafhumnya)...:
Bagaimana engkau berpagi-pagi hari (yakni bagaimana perihalmu di pagi hari)? Atau bagaimana perihalmu di petang hari?
Jawab Uwais rah.a...(mafhumnya)...:
Daku berpagi-pagi hari dalam keadaan daku menyintai Allah swt, dan daku berpetang-petang hari pula dalam keadaan daku bertahmid kepada Allah swt, dan (daku berpagi-pagi dan berpetang-petang hari) dalam keadaan apa yang engkau bertanyakan perihal seorang lelaki yang apabila dia menganggap dirinya bila berada pada waktu pagi nescaya tak sempat nak berpetang hari dan bila berada pada petang hari tak sempat pula nak berpagi hari. Sesungguhnya maut itu dan zikrul maut (ingat mati) itu telah tidak membiarkan seseorang mu'min itu berada dalam keadaan gembira atau suka ria (farohan). Dan sesungguhnya haq Allah swt pada harta Muslim itu telah tidak membiarkan baginya daripada hartanya itu sebagai perak dan tidak juga sebagai emas. Dan sesungguhnya 'amalan amar ma'ruf (menyuruh berbuat baik) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) itu telah tidak membiarkan bagi mu'min itu seorang kawan pun, kita menyuruh mereka berbuat baik/ma'ruf lalu mereka pula merasa gembira kiranya bencana-bencana menimpa tubuh badan dan kehormatan (a'roodh) kita, (kalau begitulah sifat mereka) tentulah mereka dapati bahawa mereka menjadi pembantu-pembantu (a'waan) daripada golongan faasiqiin (orang-orang faasiq), sehingga demi Allah sesungguhnya mereka telah melemparkan/mengenakan terhadapku dengan pelbagai bencana/kerumitan/kesukaran ('azooim), dan demi Allah aku tidak akan meninggalkan 'amalan untuk bangun/bangkit kerana Allah swt di tengah-tengah mereka dengan haq-Nya.
Kemudian beliau pun berlalu.
Begitulah kira-kiranya terjemahan kasar daripada Sifah As-Sofwah, jilid 3, halaman 53 dan 54.
Mari kita membaca berulang-ulang dan dengan penuh kefahaman akan keterangan Uwais rah.a di atas. Tentu banyak kesimpulan/pengajaran yang dapat kita perolehi, antara lain:
- [1] Mulakan hari dengan menyintai Allah swt, bertahmidlah kepada-Nya pagi dan petang. Zikrul maut (ingat mati) perlulah disuburkan sentiasa.
- [2] Antara tanda bahawa zikrul maut (ingat mati) itu telah dihayati oleh seseorang ialah dia tidak lagi bersuka ria dan bergembira. Malah banyak sedih dan risau kerana memikirkan akan perkara-perkara/tahap-tahap yang akan dilaluinya, sama ada dari segi persediaan menghadapi maut, atau kedahsyatan sakarat/naza', atau nasibnya di dalam qubur dan tahap-tahap seterusnya.
- [3] Antara tanda bahawa seseorang Muslim itu telah menunaikan haq Allah swt pada hartanya ialah peratus yang tinggal untuk diri sendiri begitu tersangat kecil. Peratus terbesar telah diinfakkan fii sabiilillah. Sehubungan dengan ini lihatlah Abu Bakar r.a., 'Abdurrahmaan bin 'Auf r.a., dan lain-lain lagi.
- [4] Bila seorang mu'min itu mula menjalankan 'amalan amar ma'ruf dan nahi mungkar, maka pada umumnya kawan akan menjadi lawan. Malah mengikut keterangan Uwais rah.a, tidak seorang pun akan menjadi kawan. Mereka yang disuruh/diajak untuk berbuat ma'ruf itu malah akan bergembira kiranya sipengajak/sipenyuruh/sipenyeru itu terpaksa menghadapi (atau menerima) segala bentuk rintangan/cabaran/kerumitan/cemuhan/celaan dsbnya. Dan mereka ini, mengikut Uwais rah.a, adalah pembantu-pembantu daripada golongan faasiqiin (orang-orang yang faasiq).
Nah nampaknya kalau tak sanggup berlawanan dengan kawan, tak bisalah berbuat 'amalan amar ma'ruf dan nahi mungkar!!! Kalau tak bisa beramar ma'ruf dan bernahi mungkar, itu satu hal lah, tapi yang terlebih parah lagi kot-kot termasuk golongan yang menjadi pembantu-pembantu para faasiqiin. Na'uuzubillah min zaalik!
Apa kata antum yang budiman? Doakan untuk saya. Semoga Allah swt memberkati kehidupan antum!
Wallaahu a'lam.
Wassalaamu'alaikum wrb.,
Al-faqiiru ilallaah.
