Mari kita menyintai sunnah Rasulullah saw! Mari kita merasai senang dengan sunnah Rasulullah saw! Mari kita mengamalkan dan menghidupkan sunnah Rasulullah saw! Mari kita mengajak manusia lain untuk sama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah saw! Dari Anas r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah (mafhumnya):
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah menyintai akan daku, dan sesiapa yang menyintai akan daku, adalah ia bersamaku di syurga."
Dan banyak hadith-hadith lain tentang pentingnya mengikuti dan menghidupkan sunnah Rasulullah saw, yang mana sudah tentu tidak dimuatkan kesemuanya di sini.
Di sini saya mengambil kesempatan untuk menerangkan kelebihan salah satu dari sunnah-sunnah Rasulullah saw iaitu sunnah memakai tongkat.
Sebenarnya nilai satu-satu sunnah itu tidak boleh diukur dengan nilai kebendaan yang kita nampak ini. Sesungguhnya nilai satu-satu sunnah itu lebih berharga daripada dunia dan seisinya!
Berikut adalah kelebihan-kelebihan memakai tongkat yang diambil dari sebuah kitab lama yang bernama Ljauharulmauhuub (Mutiara Yang Diberikan / Dihadiahkan) dan Munabbihaatulquluub (Stimulus Hati) bagi Al-'Alim Al-'Allaamah 'Ali bin 'Abdurrahmaan Al-Kalantaani (semoga Allah swt melimpahkan ihsan ridha-Nya ke atas beliau):
- Kata Ibnu 'Abbas r.a.:
Bermula bertongkat itu dari perangai Anbiyaa’ (Nabi-nabi) dan adalah Nabi saw bertongkat dan menyuruh dengan dia. [Maksudnya: Di samping Baginda saw sendiri bertongkat, beliau juga menyuruh orang lain supaya memakai tongkat.] - Dari Nabi saw, sabdanya (mafhumnya):
Bertongkat itu adalah tanda orang mu'min dan sunnah Anbiyaa’ (Nabi-nabi) dan barangsiapa keluar musafir dan sertanya tongkat dari kayu lauz (sejenis kayu pokok buah badam) yang pahit, nescaya akan diamankan oleh Allah swt dari serangan binatang yang memberi mudarat dan dari pencuri yang ingin mencuri daripadanya serta dari binatang yang mempunyai racun seperti ular dan kala hingga kembali ia kepada tempat kediamannya, dan adalah serta orang bertongkat itu tujuh puluh malaikat mengawalinya. - Kata Hasan Basri rah.a.:
Bagi bertongkat itu ada delapan perkara:
| (Pertama) | Sunnah Anbiyaa’ (Nabi-nabi). |
| (Kedua) | Perhiasan bagi orang soleh (para solehin). |
| (Ketiga) | Senjata terhadap seteru. |
| (Keempat) | Menolong orang yang dhaif. |
| (Kelima) | Lari dari empunya oleh syaitan. |
| (Keenam) | Merendahkan daripadanya oleh orang fajir yang jahat. |
| (Ketujuh) | Qiblat bagi empunyanya. |
| (Kedelapan) | Menguatkan dia apabila penat. |
- (Dan) dari Nabi saw, sabdanya (mafhumnya):
BARANGSIAPA SAMPAI 40 TAHUN UMURNYA DAN TIADA IA BERTONGKAT DIBILANGKAN DIA (DIGOLONGKAN DIA) DARI ORANG TAKABBUR DAN 'UJUB.
wallaahu a'lam.
Maka marilah kita sama-sama berdoa agar Allah swt sentiasa memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita semua untuk menunaikan segala titah perintah-Nya dan menghidupkan sunnah kekasih-Nya saw. Wallaahu A'lam. Semoga sama-sama kita mengambil i'tibar.... Wassalaamu'alaikum wrb., Alfaqiiru ilallah.
