Dan daripada Muhammad bin Nasiir rohimahullah, di dalam kitabnya, katanya, telah menerangkan Al-Junaid rohimahullah (mafhuumnya):
"Seandainya seorang sadiq (orang yang benar, mukhlis, tulus ikhlas) telah menghadap kepada Allah SWT selama beribu-ribu tahun, kemudian dia telah berpaling daripadanya (daripada Allah SWT) sekadar suatu lahzoh sahaja (sekejap mata sahaja/selayang pandang sahaja), maka adalah apa yang telah luput ia (apa yang telah hilang ia) itu lebih banyak daripada apa yang dia telah perolehi (selama beribu-ribu tahun) tadi."
Begitulah kira-kira petikan (terjemahan kasar) daripada Sifah As-Sofwah, susunan Al-Imam Al-'Aalim Jamaaluddiin Abil-Faroj Ibnu Al-Jauziyy rohimahullah, mujallad 2, halaman 421.
Begitulah betapa dahsyatnya dan teruknya nilai "berpaling daripada Allah SWT" (yakni membelakangi kehendak-kehendak Allah SWT, mengabaikan perintah-perintah Allah SWT) walaupun sekejap sahaja. Lebih banyak sebenarnya kehilangan dan kerugian yang diperolehi oleh seseorang hamba Allah SWT bilamana ia melanggari kehendak-kehendak Allah SWT buat seketika sahaja (buat sekejap mata sahaja) jika dibandingkan dengan apa yang diperolehinya selama beribu-ribu tahun dalam menghadap (dalam ketaatan) kepada Allah SWT!
Memang benarlah kata 'ulama, kira-kira maksudnya, bahawa orang yang paling banyak ibadah itu adalah orang yang paling sedikit melakukan maksiat (pelanggaran terhadap perintah-perintah Allah SWT). Sesungguhnya untuk meninggalkan maksiat atau larangan Allah SWT itu (yakni untuk tidak berpaling daripada Allah SWT) adalah jauh lebih berat daripada untuk melakukan amalan-amalan taat.
Kembali kepada cara kehidupan seharian kita...
Kembali kepada amalan segala anggota di badan kita..... Katakanlah "mata kita" (sebagai contoh salah satu daripada anggota-anggota badan kita)..... dalam 24 jam itu, manakah yang banyak dilakukannya, yang bersifat larangan atau yang bersifat suruhan?
Kalau berjam-jam "mata kita itu beribadah" (misalnya kita membaca sambil melihat Al-Quran), lepas itu beberapa lahzoh pula "mata kita melihat akan perkara-perkara yang dilarang oleh agama", berdasarkan keterangan daripada Al-Junaid rohimahullah di atas, sudah jelas bahawa dosa dan kerugian yang dibuat oleh mata kita itu terlebih besar jika dibandingkan dengan apa yang diperolehinya semasa berbuat taat yang berjam-jam itu!
Satu persoalan timbul: Berapa lahzohkah setiap hari mata kita melihat aurat wanita di kaca TV atau di mana-mana? Dan umur kita di dunia ini adakah bisa mencapai 1000 tahun (atau beribu-ribu tahun) dalam usaha untuk menebus kembali segala kerugian yang dikenakan kepada kita dalam lahzoh-lahzoh tersebut??!!
Atau, bagaimana kata antum serta para netters yang bijaksana?
Semoga kita sama-sama mengambil iktibar....
Wallahu A'lam.
Wassalamu'alaikum wrb.
Al-faqiiru ilallah.
Mufrodaat:
- [1] Lahzoh: selayang pandang, sekejap mata, nazrah.
- [2] Lahzoh: sebentar, burhah qosiroh.
- [3] Fii lahzoh: dalam sekejap mata.
