Dan telah diriwayatkan daripada 'Umar bin Maimuun daripada Ibnu Mas'ud r.a., katanya (mafhuumnya):
Sesungguhnya syaitan itu telah mengelilingi (melingkungi) akan ahli-ahli majlis dzikir dengan maqsud untuk mengadakan fitnah (untuk menghu harakan mereka), tetapi tidak berdaya untuk memporak-perandakan mereka. Maka syaitan itu pun mendatangi halqah (perhimpunan) yang membicarakan dunia pula lalu memikat serta memujuk mereka sehingga mereka saling berperang (saling bergaduh). Maka bangunlah ahli-ahli dzikir tersebut kerana hendak menegah mereka (yang berbicara dunia) itu (daripada saling bergaduh), lantaran itu maka ahli-ahli majlis dzikir itu pun saling berpisah meninggalkan (majlis dzikir itu).
Begitulah kira-kira terjemahan kasar daripada Sifah As-Sofwah, susunan Al-Imam Al-'Aalim Jamaaluddin Abil-Faroj Ibnu Al-Jauziyy roh.a., mujallad 1, halaman 414 & 415.
Antara kesimpulan/i'tibar/ulasan/dsbnya:
- [1] Begitulah berjayanya syaitan dengan taktik yang tersangat halus dalam mempengaruhi ahli-ahli dzikir sehingga akhirnya majlis-majlis dzikir yang penuh dengan kemuliaan itu dapat dipecahkan/dihapuskan. Syaitan telah menggunakan ahli-ahli/halqah-halqah yang membicarakan dunia sebagai umpan untuk memecahkan majlis dzikir itu.
- [2] Peristiwa yang sama sering berlaku di rumah kita (atau di mana-mana) setiap hari dan setiap ketika. Misalnya: Bila si ayah atau si ibu mula hendak mengajar Al-Qur'an pada si adik atau anak-anak yang lebih kecil (atau dengan lain perkataan hendak membuat majlis ta'lim di rumah) maka mulalah si abang (atau anak-anak yang lebih besar) membuka program-program TV yang menarik perhatian sehingga si adik tadi tidak bisa memberikan tumpuan yang baik kepada ilmu kerana hatinya telah tertumpu kepada program-program TV yang sedang berjalan itu. Akhirnya majlis ta'lim itu dibuat secara sambil lewa saja dan masanya dipendekkan pula kerana perhatian bersama telah tertuju kepada program-program keduniaan di TV. Lantaran itu kesan pengajian itu tidaklah seberapa. Akhirnya syaitan juga yang telah berjaya dalam melumpuhkan majlis-majlis ta'lim!!! [Dan sudah tentu banyak lagi contoh-contoh yang lain....]
- [3] Lantaran itu mereka yang benar-benar ingin menyuburkan majlis-majlis pengajian/dzikir perlulah berhati-hati dengan taktik-taktik halus syaitan dan kuncu-kuncunya.
Apa kata para netters yang bijaksana?
Wallahu A'lam. Semoga kita sama-sama mengambil i'tibar.. Wassalamu'alaikum wrb Al-faqir ilallah.
Mufrodat:
- [1] Aghroo: memujuk, memikat, mengumpan.
