Dan daripada Salaamah rahimahullah, katanya: Telah berwasiat/berpesan 'Abdullooh bin Marzuuq Abuu Muhammad rahimahullah kepadaku (mafhuumnya):
Wahai Salaamah, sesungguhnya aku mempunyai suatu hajat buatmu.
Aku (yakni Salaamah) bertanya: Apa dia hajat itu?
Jawab 'Abdullooh bin Marzuuq Abuu Muhammad rahimahullah (mafhuumnya):
(Iaitu) engkau bawa akan daku serta engkau buang akan daku di atas mazbalah itu (tempat pembuangan kotoran/sampah itu) semoga aku bisa mati di atasnya (di atas mazbalah itu), maka dia melihat akan daku lalu dia merohmati akan daku. Rahimahullah!
Begitulah kira-kira terjemahan kasar daripada Sifah As-Sofwah, susunan Al-Imam Al-'Aalim Jamaaluddiin Abil-Faroj Ibnu Al-Jauziyy rahimahullah, mujallad 2, halaman 317.
Begitulah rentak fikiran dan kefahaman serta rentak kezuhudan dan keruhanian yang ada pada salah seorang bintang kita itu. Memang sangat sukar bagi kita yang penuh terikat dan menjiwai akan nilai-nilai kebendaan ini untuk memahami isi hati mereka itu. Malah mungkin ada di antara kita (lantaran tidak memahami jalan fikiran mereka dik kegelapan hati yang ada pada kita) yang akan mempertikaikan rentak mereka itu.
Jelas sekali, beliau rahimahullah ingin berada di atas mazbalah kerana dalam suasana dan keadaan yang sedemikian rupa, maka beliau akan dipandang dengan penuh kerohmatan daripada-Nya swt. Ya, suasana dan keadaan memainkan peranan juga sebagai asbab menarik rahmat daripada sisi-Nya.
Perhatikan... dalam menunaikan Solat Istisqoo'... Adalah termasuk adab (pada) solat ini untuk berkumpul beramai-ramai di lapangan (mithalnya) dengan membentuk suasana yang bisa menarik rahmat Allah swt. Antara adab-adab yang lain adalah Imam hendaklah menyuruh orang ramai supaya berpuasa dahulu 3 hari sebelum keluar ke lapangan; dan Imam juga hendaklah menyuruh mereka supaya tidak melakukan kezaliman dari segi pertumpahan darah, penghalangan dan harta; Imam juga hendaklah menyuruh mereka supaya memperbanyakkan taqorrub kepada Allah swt dengan melakukan kebaikan sebanyak yang mungkin. Kemudian mereka (orang ramai) hendaklah keluar pada hari keempat dalam keadaan berpuasa, dalam keadaan memakai baju/pakaian yang biasa (pakaian harian biasa/pakaian kerja - kalau petani dengan pakaian yang digunakan untuk pergi berladang, kalau nelayan dengan pakaian untuk pergi menangkap ikan, pekerja buruh dengan pakaian kerjanya, dsbnya...), dan dalam keadaan takhosyu' (penuh kekhusyukan) dan tanpa memakai perhiasan (bi laa ziinah), dan tanpa memakai haruman, cuma sekadar membersihkan dengan air, dan siwak, dan menghilangkan bau yang tidak disukai, dan digalakkan juga supaya kanak-kanak dan orang-orang tua sama-sama keluar ke lapangan, malah digalakkan juga membawa bersama-sama kita binatang-binatang ternakan ke lapangan itu,... dsbnya. Semuanya itu adalah antara lain (antara hikmahnya) adalah untuk membentuk suatu suasana dan keadaan di mana dapat menarik rahmat daripada-Nya. Semoga dengan suasana dan keadaan yang penuh rendah diri dan penuh kekhusyukan itu maka rahmat Allah swt akan tiba... yakni semoga Allah swt menurunkan hujan...
Begitulah juga perbandingannya kira-kira bila mana 'Abdullooh bin Marzuuq Abuu Muhammad rahimahullah menyuruh (semasa sakitnya hendak mati) supaya jasadnya dibawa ke atas mazbalah, supaya dalam keadaan dan suasana yang sedemikian rupa dia akan dipandang dengan penuh kerohmatan semasa nyawanya hendak dicabut!!
Bagaimana dengan kita pula? Adakah kita mahu mati di atas sebuah katil yang empuk di dalam sebuah bilik yang penuh dengan berbagai perhiasan yang penuh prestij (kemegahan) dan di dalam sebuah banglo yang besar lagi mewah pula? Atau bagaimana? Apa kata antum yang bijaksana?
Wallahu A'lam. Semoga kita sama-sama mengambil i'tibar... Wassalaamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alfaqiiru ilallah.
Mufrodaat:
- [1] Mazbalah, Mazbulah: tempat pembuangan kotoran/sampah; kj: Mazabil.
- [2] Zibaalah, Kunāsah ('Aamiiyyah): sampah, kotoran (yang disapu).
- [3] Sunduuq Az-Zibaalah: bakul sampah (bak sampah).
- [4] 'Arobah Az-Zibaalah: gerobak/kereta/pedati sampah.
