(FASAL) DAN IMAMAH AL-FASIK (Maksudnya bersolat di belakang imam yang fasik) adalah sah di sisi Abu Hanifah rahimahullah dan di sisi Asy-Syafi'iyy rahimahullah pula adalah makruh. Telah berkata Malik rahimahullah bahawa seandainya kefasiqan imam itu tanpa ta’wil (tanpa penafsiran), maka adalah TIDAK SAH solat berimamkan dia dan si makmum itu kenalah MENGULANGI SEMULA solatnya. Sekiranya kefasiqan imam itu dengan ta’wil (dengan penafsiran), maka si makmum itu kenalah MENGULANGI SEMULA solatnya jika masih ada waktu. Mengenai pegangan Ahmad (iaitu Imam Hanbali rahimahullah) pula, terdapat dua riwayat. Namun, yang paling masyhur antara kedua-dua riwayat itu ialah TIDAK SAH SOLAT berimamkan orang yang fasik.
Begitulah terjemahan kasar daripada kitab Rohmatul-Ummah Fi Ikhtilaafil-Aimmah, susunan Al-'Aalim Abu 'Abdulloh Muhammad bin 'Abdurrohmaan Ad-Dimasyqiyy Al-'Uthmaaniyy As-Syaafi'iyy (termasuk ulama di kurun ke-8 Hijrah), mujallad 1, halaman 61.
Yang jelas, di sisi Mazhab Syafi'iyy (bagi kebanyakan kita di Malaysia, Indonesia, dan Nusantara ini), adalah makruh menjadi makmum di belakang imam yang fasik. Bagi orang yang benar-benar menjaga solat, tentulah tidak mahu melakukan perkara-perkara yang makruh dalam solat, apatah lagi kalau melazimkannya.
Nah sekarang timbul beberapa persoalan/pertimbangan untuk difikir, diselidiki, dicarikan penyelesaiannya, dan sebagainya:
- [1] Siapakah yang dimaksudkan dengan imam yang fasik itu? Apakah ciri-ciri yang ada pada seorang imam (dalam solat) sehingga dia dapat dikategorikan sebagai seorang imam yang fasik?
- [2] Sanggupkah kita setiap waktu bersolat di belakang imam yang fasik? Kalaupun sekali-sekala, itu lainlah...
- [3] Apakah semestinya di setiap masjid dan surau itu, imam-imamnya tidak fasik? Atau bagaimana?
- [4] Atau, diri kita juga (termasuk diri saya) adalah manusia-manusia yang fasik?
- [5] Semoga ada pihak yang 'arif / 'arifin (di kalangan para netters misalnya, atau siapa saja) menjelaskan dengan penuh perincian tentang ciri-ciri kefasiqan ini!!! [Dengan kata lain, bilakah imam itu dikatakan seorang yang fasik?].
Wallahu A'lam. Semoga kita sama-sama mengambil iktibar... Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Al-faqir ila Allah.
MUFRODAAT:
- [1] I'AADAH, TIKROOR: pengulangan
- [2] I'AADAH, IRJAA': pengembalian.
- [3] I'AADAH AN-NAZORI FI AL-QODHIYYAH: pemeriksaan kembali sesuatu perkara.
