Dan termasuk Al-Wajibaat Al-Qolbiyyah (kewajiban hati) adalah Al-Thiqoh bi-Rizqi (yakin dengan penuh kepercayaan dan penuh I'timaad tentang rezeki). Rezeki itu adalah apa sahaja yang Allah SWT telah kirimkan kepada haiwan/kehidupan/hewan/manusia (HKHH), lalu HKHH itu telah mengambil manfaat dengannya menerusi perbuatan. Maka rezeki itu merangkumi/meliputi Al-Ma'kul (apa yang dimakan) dan lain-lain lagi daripada apa yang telah HKHH itu mengambil manfaat dengannya. Demikianlah yang telah diberikan/dijelaskan oleh Abdus-Salaam rahimahullah. Dan yang dikehendaki dengan itu adalah Al-Wuthuq bil-Allah (yakin dengan penuh kepercayaan kepada Allah SWT) dan penuh pengharapan akan rezeki itu daripadanya, kerana melihat atau beranggapan bahawa rezeki itu diperolehi daripada kasab/usaha/pekerjaan/career/profession adalah suatu hakikat kufur (Haqiiqot Kufur). Demikianlah sebagaimana telah dijelaskan oleh As-Suhaimiyy rahimahullah.
Begitulah terjemahan kasar daripada kitab Mirqootu Su'uudi At-Tasdiiq Fii Syarhi Sullam At-Taufiiq, susunan Al-'Aalim Al-Faadhil Asy-Syeikh Muhammad Nawawi, halaman 59.
Diulangi lagi: "....kerana melihat atau beranggapan bahawa rezeki itu daripada kasab/usaha/pekerjaan/career/profession adalah suatu hakikat kufur (Haqiiqot Kufur)."
Sehubungan dengan keterangan di atas, sejauh manakah keyakinan kita tentang bahawa rezeki itu adalah daripada Allah SWT? Tidak daripada kasab/usaha/pekerjaan/career/profession kita? Atau memang kita terjebak di sini di kelemahan iman kita?
Untuk terlibat dalam syirik yang jelas (seperti dalam penyembahan berhala dan sebagainya) adalah agak susah buat kita kerana rata-rata memang nampak akan betapa syiriknya jika sedemikian. Tetapi untuk terlibat (sama ada secara sedar atau tidak sedar) dengan syirik/kufur yang tersembunyi (seperti adanya hakikat kufur di dalam hati kita) seperti yang telah dijelaskan oleh As-Suhaimiyy rahimahullah, adalah teramat mudah sekali sekiranya keimanan kita terhadap Allah SWT tidak dipupuk dan dibajai selalu.
Bagaimanakah bentuk usaha-usaha yang mesti dibuat untuk membuang hakikat kufur itu daripada hati kita? Bagaimanakah nasib seseorang kiranya dia mati walhal di dalam hatinya ada hakikat kufur itu?
Sehubungan dengan ini juga, mari kita tinjau maratib (martabat/kelas) tentang keyakinan seseorang dalam hal rezeki (mengikut penerangan seorang hakim daripada para hukamaa’...)
(Tanggapan) manusia tentang kasab/usaha/pekerjaan/career/profession dan seumpamanya terbahagi kepada 4 maratib (martabat/kelas):
- MARTABAT PERTAMA: Orang yang melihat (menganggap dan berkeyakinan) bahawa rezeki itu daripada Allah SWT dan juga daripada kasab/usaha/pekerjaan/career/professionnya. Orang sebegini adalah MUSYRIK.
- MARTABAT KEDUA: Orang yang melihat (menganggap dan berkeyakinan) bahawa rezeki itu daripada Allah SWT, walhal dia masih ragu apakah diberi atau pun tidak. Orang sebegini adalah MUNAAFIQ SYAAK.
- MARTABAT KETIGA: Orang yang melihat (menganggap dan berkeyakinan) bahawa rezeki itu daripada Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama dia tidak menunaikan hak dan kewajipan malah menderhakai Allah SWT. Orang sebegini dipanggil seorang yang FAASIQ.
- MARTABAT KEEMPAT: Orang yang melihat (menganggap dan berkeyakinan) bahawa rezeki itu daripada Allah SWT, dan dia melihat bahawa kasab/usaha/pekerjaan/career/profession itu adalah sebagai suatu sebab yang tidak mempengaruhi dapat atau tidaknya, lalu ia mengeluarkan (menunaikan) kewajipan dan tidak bermaksiat (tidak menderhakai) terhadap Allah SWT. Orang sebegini dipanggil MU’MIN MUKHLIS (mu’min yang tulus ikhlas).
Begitulah maratibnya. Agak-agaknya kita ini berada di martabat yang mana satu? Semoga keyakinan / keimanan kita terus meningkat. Semoga kita sama-sama mengambil ibrah...
Wallahu A'lam. Wassalaamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Alfaqiiru ilallah.
Mufrodaat:
- [1] THIQOH: yakin penuh kepercayaan, WUTHUUQ, I'TIMAAD.
- [2] I'TIMAAD: kepercayaan.
- [3] MARTABAH: grade, degree, rank, class (kj: MAROOTIB).
