Dan daripada Junaid rahimahullah, katanya: Aku telah mendengar Sariyy rahimahullah berkata (mafhum):
"Jika aku terluput akan sesuatu daripada wiridku, aku tidak mampu untuk mengulanginya lagi."
Dan telah berkata Junaid rahimahullah (mafhum): Adalah Sariyy rahimahullah seorang yang kesibukannya (dalam beramal) adalah berkelanjutan (tidak putus-putus). Dan apabila beliau telah terluput akan sesuatu (yakni terluput daripada sesuatu wirid atau amalan lazimnya), beliau tidak mampu lagi untuk mengulanginya (lantaran kesibukannya tersebut yang tidak putus-putus). Dan demikian jugalah dengan ‘Umar bin Al-Khattab rahimahullah, tidak ada baginya suatu waktu untuk tidur. Maka adalah beliau (iaitu ‘Umar rahimahullah) mengantuk (tersengguk-sengguk) walhal beliau rahimahullah berkeadaan sedang duduk.
Maka dikatakan/ditanyakan kepada beliau rahimahullah: "Wahai Amirul-Mu'minin, tidakkah tuan tidur?"
Jawab beliau rahimahullah (mafhum): "Bagaimana aku bisa tidur? Andaikata aku telah tidur pada siang hari (maka ini bermakna) aku telah merosakkan (mengabaikan) urusan-urusan para muslimin! Dan andaikata aku telah tidur pada malam hari (maka ini bermakna) aku telah merosakkan (mengabaikan) keuntungan (kebahagiaan yang akan ku perolehi) daripada Allah ‘Azza wa Jalla!"
Begitulah terjemahan kasar daripada Sifah As-Sofwah, susunan Al-Imam Al-‘Aalim Jamaaluddin Abil Faroj Ibnu Al-Jauziyy rahimahullah, mujallad 2, halaman 381 & 382.
[Daripada keterangan di atas, tidak hairanlah mengapa sejarah mencatatkan bahawa Sayyidina ‘Umar rahimahullah sentiasa melakukan rondaan / jaulah / patrol daripada satu tempat ke satu tempat pada malam hari..].
Daripada jawapan Sayyidina ‘Umar rahimahullah di atas, banyak perkara dapat disimpulkan dan dibincangkan bersama, antara lain:
- Tidak ada waktu bagi Sayyidina ‘Umar rahimahullah untuk tidur enak-enak sama ada di siang hari mahupun di malam hari. Karena bagi beliau rahimahullah, sebagai seorang pemimpin adalah mengkhianati (merosakkan) urusan-urusan muslimin jika beliau utamakan keenakan tidur daripada memikirkan-menguruskan hal ehwal muslimin di siang hari. Sementara, jika utamakan tidur enak di malam hari pula, ini bermakna beliau rahimahullah akan merosakkan (mengabaikan) peluang-peluang untuk beramal di malam hari (kerana habuan-habuan amalan bagi seorang mu'min itu adalah pada malam hari). Sebab itulah beliau rahimahullah mengantuk (tersengguk) walhal beliau rahimahullah sedang duduk.
- Kembali kepada kehidupan hari ini: Masih adakah lagi seorang pemimpin yang mempunyai ciri-ciri (atau sebahagian daripada ciri-ciri) Sayyidina ‘Umar rahimahullah?
- Kembali kepada diri kita sendiri (termasuk saya yang bercakap ini lah terutamanya), berhubung dengan jawapan ‘Umar rahimahullah, apakah kita ini tidak termasuk orang yang merosakkan (mengabaikan) akan keuntungan/kebahagiaan masing-masing yang bakal diperolehi daripada Allah swt lantaran setiap malam terus tidur dengan enak?
- Sampai bilakah agaknya diri ini bisa merasakan manisnya untuk bermunajat dengan Allah swt di malam hari? Atau diri ini akan terus dan terus menikmati tidur yang penuh lena lagi panjang-panjang buat setiap malam sampai ke pagi? Sampai mati? Atau bagaimana?
ALLOOHUMMA WAFFIQNAA LIMAA TUHIBBUHU WA TARDHOOHU MINAL-QOULI WAL-‘AMALI FII TO’ATIKA!!!
Walloohu A'lam. Wassalaamu'alaikum wrb. Alfaqiiru ilallah.
Nota:
- AUMUR: urusan-urusan.
- AUMURUL-MUSLIMIIN: urusan-urusan para muslimin.
