Kesaksamaan Hak Antara Lelaki Dan Wanita

Oleh Zana.
2004-08-09 13:28:39

Deprecated: preg_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /home/server/mymasjid.net.my/modules/articles/article.display.php on line 51
Asma Pejuang Feminisme

ISU kesaksamaan hak antara lelaki dan wanita bukan sesuatu yang baru, malah sebenarnya sudah ditimbulkan sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Peranan lelaki dan wanita dilihat mempunyai perbezaan yang ketara. Lelaki dianggap lebih bebas dalam tindakan, sementara wanita berada dalam kepungan yang tersendiri yang hanya menguruskan hal-hal berkaitan domestik semata-mata. Justeru keadaan ini telah menimbulkan persoalan di kalangan wanita kerana mereka beranggapan peranan mereka tidak diakui Islam. Asma’ binti Yazid as-Sakan al-Anshariyah atau dikenali juga dengan nama Ummu Salamah al-Anshariyah merupakan individu yang berjuang menuntut kesaksamaan hak di kalangan kaum wanita. Puteri kepada bapa saudara Muaz bin Jabal ini terkenal sebagai wanita yang petah berpidato, teguh pegangan agama di samping boleh meriwayatkan hadis. Dia juga memainkan peranan penting untuk mewakili kaum wanita dalam isu-isu kewanitaan, sekali gus keistimewaan itu melayakkannya dianggap sebagai jurucakap kaum wanita.

Dalam satu peristiwa, Asma telah mengetuai kaum wanita membawa pengaduan kepada Rasulullah mengenai hak mereka. Dia membawa masalah yang dialami kebanyakan kaum wanita, menuntut Rasulullah memberikan hak yang jelas dan adil di sisi agama.

Katanya, “Saya dilantik sebagai jurucakap kaum wanita untuk bertemu tuan. Sesungguhnya Allah telah mengutus tuan kepada kaum lelaki dan wanita keseluruhannya. Kami mempercayai tuan dan tuhanmu juga. Kami kaum wanita, terbatas dalam gerak-geri. Kami sentiasa duduk di rumah untuk kamu (berkhidmat untuk lelaki) melepaskan syahwat kamu, dan mengandungkan anak-anak kamu. Sedangkan kamu lelaki, mempunyai banyak kelebihan berbanding kami. Kamu boleh melakukan solat Jumaat, solat jemaah, menziarahi orang sakit, menyaksikan jenazah dan mengerjakan haji berkali-kali. Yang utama, kamu boleh keluar berjihad ke jalan Allah. Apabila kamu keluar untuk menunaikan haji dan berjihad, kami yang akan menjaga harta benda kamu, menjahitkan pakaian kamu dan kami yang memelihara anak-anak kamu. Tidakkah dapat kami berkongsi pahala itu dengan kamu?”

Pengaduan ini mengandungi semacam satu tuntutan hak yang lebih saksama dan bertimbang rasa. Kata-kata Asma’ umumnya menggambarkan peranan wanita yang hanya terbatas dalam lingkungan kediaman mereka, yang selalu berkhidmat untuk suami dan menjaga anak. Ini berbeza dengan peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki yang boleh keluar berjihad dan boleh menunaikan haji bila-bila masa sahaja tanpa terikat kepada sesiapa pun. Perbezaan peranan ini menjadikan kaum wanita berasa bahawa tugas mereka tidak penting dan menuntut kesaksamaan daripada Rasulullah.

Tanpa rasa gentar Asma’ membawa pengaduan itu menghadap Rasulullah. Hujahnya bernas dan logik dengan alasan yang munasabah sehingga sukar untuk dibangkang. Namun dalam kelantangan itu, wanita ini tidak melupakan tatasusila dengan mukadimahnya yang cukup tenang dan teratur iaitu, “Sesungguhnya Allah telah mengutus tuan kepada kaum lelaki dan wanita keseluruhannya.”

Hujah yang dibawa Asma’ menarik perhatian Rasulullah. Baginda tidak pernah mendengar seorang wanita yang begitu berani dan berterus-terang meluahkan masalah seperti itu. Malah baginda juga kagum kerana wanita itu begitu bijak melontarkan masalah dengan tenang dan hujah yang bernas.

Baginda lalu menoleh ke arah para sahabat yang lain lalu bertanya mereka, “Pernahkah kamu mendengar bicara seorang wanita yang lebih pandai membawakan masalah-masalah agama selain wanita ini?”

Para sahabat membalas dengan rasa kagum, “Kami sama sekali tidak sangka ada seorang wanita yang dapat membawa masalah ini, Rasulullah.”

Rasulullah kemudian menoleh ke arah Asma’ semula dan berkata kepadanya, “Ketahuilah wahai wanita dan sampaikan juga kepada teman-teman wanitamu yang lain. Sesungguhnya seorang wanita yang menjaga suaminya, mencari keredaan suami dan melakukan segala yang disukai suami, adalah menyamai semua yang dilakukan suaminya.”

Jawapan Rasulullah adalah kegembiraan kepada kaum wanita sebenarnya. Jawapan itu juga adalah satu pengiktirafan kepada seluruh kaum wanita bahawa tugas mereka sebagai isteri dan ibu sama seperti jihad yang dilakukan para suami mereka di luar rumah. Justeru jawapan itu turut menjadi penawar dan merawat kekecewaan yang dirasakan oleh Asma’ dan rakan-rakan wanitanya yang lain.

Pengaduan Asma’ juga merupakan bukti bahawa Islam memberikan kebebasan penuh kepada wanita untuk meluahkan masalah dan kemusykilan mereka. Mereka boleh meluahkan apa-apa sahaja masalah sama ada yang berkaitan peribadi, cara hidup, kewajipan dan persekitaran.

Justeru apabila Rasulullah memberikan respons kepada kemusykilan yang dibawa oleh kaum wanita, ia sekaligus menunjukkan bahawa baginda turut mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh seorang ketua wanita. Apabila Rasulullah memberikan reaksi kepada permasalahan itu, secara tidak langsung ia menunjukkan baginda turut mengiktiraf gerakan kaum wanita.

Antaranya kata-kata Rasulullah, “Ketahuilah kaum wanita dan sampaikan kepada teman-teman wanitamu yang lain...” menunjukkan bahawa baginda mengakui pengaduan itu bukan mewakili individu sebaliknya mewakili semua kaum wanita Islam ketika itu.

Inilah peranan yang dimainkan Asma’ yang dianggap antara pencetus gerakan kewanitaan. Wanita ini bukan sahaja dikagumi kerana keberaniannya meluahkan pendapat tetapi kerana kebijaksanaan mengatur bicara dengan penuh tertib dan hujah yang kukuh.

Asma’ juga dikatakan salah seorang periwayat hadis dan meriwayatkan sebanyak 81 hadis daripada Rasulullah. Kebanyakan hadisnya diriwayatkan pula oleh Imam Abu Daud, Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah dan Muhajir bin Abi Muslim. Wanita ini hidup dengan usia yang agak lanjut dan sempat menyaksikan peperangan Yarmuk. Malah dikatakan dia turut berjuang dalam peperangan itu dan berjaya membunuh sembilan orang tentera Rom dalam peperangan itu. Wanita ini juga turut serta dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah (Fathu Makkah).

"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my