Muslim Beriman

Oleh Pak Ali
2004-05-07 23:33:51

Deprecated: preg_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /home/server/mymasjid.net.my/modules/articles/article.display.php on line 51
kepada semua
semoga sihat walafiat dlm keredhaan Allah swt

rindu juga kpd warga MM


MUSLIM BERIMAN SENANG LIHAT ORANG LAIN GEMBIRA


AJARAN Islam menganjurkan hidup berkasih sayang dalam iman dan takwa.

Kita perlu menyedari bahawa kehidupan dunia hanya sementara. Oleh itu, kita mempersiap bekalan untuk perjalanan hidup yang lebih panjang dan abadi iaitu kehidupan akhirat.

Hendaklah kita selalu berbuat baik, memainkan berperanan sebagai hamba Allah dengan mempraktikkan nilai-nilai rohaniah dan lahiriah.

Orang yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah tidak mengharapkan balasan ataupun upah melainkan daripada Allah saja.

Allah berfirman bermaksud: 'Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan. Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan bagi kebaikan pada kebaikan itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.' (Asy-Syuura: 23)

Ayat di atas penegasan bahawa orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah sentiasa berusaha mencipta suatu suasana sihat dalam kehidupan masyarakatnya berdasarkan kasih sayang dalam persaudaraan.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa apabila seluruh masyarakat telah dihiasi jiwa persaudaraan yang penuh kasih sayang, akan wujudlah suatu keadaan masyarakat yang aman, damai dan bahagia lahir dan batin.

Itu semua dapat diusahakan dengan terlebih dahulu memelihara iman serta meningkatkan takwa kepada Allah.

Umpamanya, apabila kita merasakan sakit yang diderita orang lain, itulah akan mendorong kita untuk turut serta menghilangkan penderitaannya, bak kata pepatah Melayu, cubit paha kanan, paha kiri pun merasa juga.

Dalam keadaan demikian, hati kita tidak merasa tenang sebelum penderitaannya hilang sembuh. Hati kita berasa tenang dan tenteram setelah kita berhasil menghilangpenderitaannya dan melihat dia dalam keadaan sihat sejahtera kembali.

Rasulullah saw bersabda bermaksud: 'Seorang Muslim itu menjadi saudara Muslim lainnya. Kerana itu, tidak diperbolehkan seorang Muslim menganiayai saudaranya, juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslimnya.

'Dan sesiapa memberikan pertolongan (memenuhi hajat keperluan saudaranya), maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya. Dan sesiapa yang memberikan kemudahan, memberikan kelapangan bagi kesusahan seseorang Muslim, nescaya Allah melapang kesusahannya di akhirat.' (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini dinyatakan orang Islam dipandang sebagai saudara dan persaudaraan itu menghendaki setiap orang Islam tidak boleh bersikap membiarkan saudaranya dalam kebinasaan.

Contoh lainnya, apabila seseorang menderita kelaparan wajiblah kita menolongnya melepaskan dirinya daripada penderitaan itu.

Antara tanda hubungan ukhuwah Islamiah ialah perasaan senang memberi manfaat kepada saudara kita dan berasa senang serta gembira melihat mereka mendapat nikmat dan kebaikan, bagai kita sendiri yang memperolehnya.

Apabila perasaan ini telah tertanam dalam hati kita dengan suburnya, bererti kita telah berhasil mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah yang besar pahalanya.

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my