Deprecated: preg_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in
/home/server/mymasjid.net.my/modules/articles/article.display.php on line
51
Dato' Dr. Siddiq Fadhil Mengupas Isu Politik Melayu: Keprihatinan Dan Harapan
Dikirimkan oleh: sua pada Rabu, March 10, 2004 - 04:06 PM
Telah sepuluh kali pilihanraya umum berlalu. Sudah setengah abad Melayu belajar berdemokrasi, berpolitik dan berparti untuk memperjuangkan hak dan kepentingannya. Memang sudah saatnya kita bertanya: Sudah sejauh mana pencapaiannya?, Sudah setakat mana kedewasaan politik kita? Dan bagaimana citra politik Melayu masa kini - masihkah ia murni sebagai saluran perjuangan idealisme ~ demi agama, bangsa dan tanahair atau sudah tercemar dengan motif kepentingan diri dan kelompok, lalu menjadi gelanggang pertarungan hancur-hancuran antara sesama bangsa?
Andainya kita ingin jujur, mungkin pertanyaan-pertanyaan tentang setengah abad perpolitikan Melayu itu dapat dijawab bahawa pencapaiannya memang banyak, tetapi korbannya juga tidak sedikit. Kemajuannya memang ada, tetapi setbacknya juga tidak kurang. Demikianlah realiti yang kini menimbulkan sejumlah keprihatinan dan harapan.
Tidak siapapun yang dapat menafikan kebaikan sistem demokrasi jika ia diamalkan secara dewasa dan bijaksana. Tetapi setelah lima dekad mengeksperimenkan demokrasi dan politik berparti-parti, kita menuai badai perpecahan umat yang dirasakan telah mencecah paras bahaya. Terlepas dari persoalan kontroversi salah siapa, yang jelas kekuatan politik Melayu terpecah parah sehingga merugikan diri dan menguntungkan orang lain, di samping terabainya nasib umat apabila masa dan tenaga pemimpin-pemimpinnya tersedut dan tercurah dalam silang sengketa perpolitikan antara parti dan intra-parti. Buat umat hanya yang tersisa dari masa dan tenaga yang telah lelah dan lesu.
Persaingan seringkali tidak terkendali lalu berubah menjadi permusuhan sehingga mengharu-birukan keharmonian hidup umat apabila di mana-mana berlaku perebutan – di masjid, di surau, di universiti dan lain-lainnya lagi. Konflik kepartian yang memang sudah cukup parah ini dikhuatiri akan melarat-larat dan berlarut-larut lagi sehingga mencemarkan kemuliaan rumah Allah dan melumpuhkan fungsinya sebagai pusat ibadah dan pembina perpaduan jamaah. Demikian pula halnya dengan IPT kita yang dikhuatiri akan semakin melupakan misi menjana kecemerlangan akademik apabila ia dijadikan pusat perkaderan parti. Pusat-pusat pengajian seharusnya tidak diseret-seret ke kancah konflik kepartian. Biarlah ia tetap setia dengan misi murni mendidik generasi dan warga yang baik, manusia demokrat tulen dan jujur yang sanggup kalah demi memenangkan prinsip dan nilai demokrasi. Dengan demikian IPT dapat memainkan peranan positif sebagai agen perubahan – menormalisasikan kehidupan politik bangsa, bukan sekadar cerminan kekalutan kemelut perpolitikan masyarakat. Berilah kesempatan kepada anak-anak kita membina masa depan kehidupan politik yang sihat dan segar. Dari kaca mata agama, persaudaraan adalah nikmat yang harus disyukuri, sedang permusuhan adalah bencana dan derita yang cukup mendera. Lalu wajarkah kita mewariskan derita dendam dan permusuhan kepada generasi yang masih murni?
Parti yang seharusnya berfungsi hanya sebagai wadah penyaluran aspirasi politik, kini tampaknya sudah menjadi cara hidup (way of life) sehingga segala-galanya berasaskan parti. Pelayanan diskriminatif selalu berlaku gara-gara perbezaan parti. Andainya segala pelantikan, kenaikan, dan pemilihan adalah berasaskan parti, bukan kualiti, alamat akan terjejaslah prestasi dan akhirnya akan membawa kesan negatif terhadap kualiti bangsa keseluruhannya.
Memang setiap parti berhak mengembangkan faham dan ideologinya, tetapi yang banyak berlaku adalah amalan memaksa-maksa, agar rakyat menelan segala yang disogokkan. Mereka dibelenggu dalam tembok pola fikir acuan parti dan dihalang daripada menerima sudut pandangan yang lain. Gaya perpolitikan sedemikian dikhuatiri akhirnya akan melumpuhkan daya fikir dan menumpulkan daya kritis rakyat. Akan terbinalah nanti generasi yang pasif, naif, penakut dan pak turut. Yang sedang kita dambakan adalah amalan dan budaya politik yang dapat memberikan pendidikan demokrasi dan mencerdaskan bangsa.
Umat Melayu-Islam seharusnya mengamalkan politik yang bermoral dalam enti luas ~ menghormati nilai-nilai akhlak dan hukum-hakam agama serta norma-norma budaya bangsa. Untuk itu politik kita harus bersih daripada gejala-gejala negatif seperti pembohongan, kepura-puraan, fitnah, rasuah dan caci-maki. Hendaknya ghairah perpolitikan tidak sampai menghakis ciri-ciri kehalusan dan kesantunan Melayu. Andainya harus berkelahi, berkelahilah secara Melayu dan kemudian berdamailah secara Melayu sebagaimana yang diperikan oleh Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang,
Berkelahilah cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dalam senyum
Marahnya dalam tertawa
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak
Watak Melayu menolak permusuhan
Jiwa Melayu mengangkat persahabatan
Kasih sayang kekeluargaan
Ringan tulang saling bertolongan
Jujur memaafkan, ikhlas memberikan.
Berdamailah cara Melayu
Silaturahim yang murni
Di mulut sama di hati,
Maaf senantiasa bersahut
Tangan dihulur bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.
Politik bangsa tidak seharusnya dibiarkan larut dengan citra negatifnya sebagai permainan yang kotor dan berbahaya. Citra politik seperti itulah yang menutup selera ramai orang baik-baik dan berkaliber untuk menceburi arena politik. Jika keadaan ini berterusan akhirnya ia akan menjejaskan kualiti kepimpinan bangsa. Sebagai manusia beragama, segala tindak-tanduknya harus berpandukan petunjuk agama. Tetapi ini tidak bererti mengagamakan politik (parti) dan tidak pula mempolitikkan agama, tetapi berpolitik secara agama.
Sebagai wadah penyaluran aspirasi umat, parti-parti politik seharusnya peka dan responsif terhadap segala yang diaspirasikan oleh umat, termasuk aspirasi keislaman, kebahasaan dan lain-lainnya. Kesedaran keagamaan yang berkembang di kalangan umat harus dilihat dan disikapi secara positif-akomodatif. Fenomena keislaman adalah suatu realiti yang mengandungi sejumlah aspirasi termasuk pengukuhan jati diri Muslim, penghayatan Islam sebagai cara hidup yang utuh dan sempurna dan pencarian alternatif-alternatif Islami. Dengan kata lain, umat menginginkan pembinaan masyarakat yang religius dan program Islamisasi yang komprehensif, serius dan konsisten.
Yang disebut sebagai aspirasi keislaman termasuklah pemerintahan yang Islami dengan pencirian sebagaimana dalam ayat 41 surah al-Hajj di atas, iaitu: (i) Pemerintahan yang mendirikan sembahyang yang menyimbolkan sikap sentiasa memelihara hubungan dengan Tuhan, atau dengan kata lain pemerintahan yang God-conscious; (ii) Pemerintahan yang menunaikan zakat yang menyimbolkan pemerintahan prihatin, yang peka terhadap untung nasib rakyat miskin dan waspada terhadap pesona harta, tidak tamak atau mementingkan diri; (iii) Pemerintahan yang komited terhadap kema’rufan, pemasyarakatan nilai-nilai murni dan positif sehingga terwujudnya budaya dan persekitaran yang sihat; (iv) Pemerintahan yang serius memerangi segala bentuk gejala munkar ~ rasuah, penyalahgunaan kuasa, politik wang, pecah amanah, nepotisme, kronisme, pelacuran, judi, arak, dadah, budaya sensate dan gaya hidup hedonistik.
Parti-parti politik Melayu adalah pemegang amanah nasionalisme Islami yang komited terhadap cita-cita pendaulatan Islam. Yang harus didaulatkan bukan sekadar syiar-syiarnya, tetapi lebih daripada itu ialah prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasarnya, terutama keadilan yang merupakan nilai teras ajaran Islam. Untuk itu institusi-institusi penegak keadilan harus cukup berwibawa dengan membuktikan kesetiaan memelihara misi yang diamanahkan. Kegagalan menegakkan keadilan akan menghilangkan kepercayaan rakyat, dan apabila itu terjadi akibatnya buruk sekali: dikhuatiri akan ada rakyat yang bertindak sendiri.
Demi keadilan, hak asasi rakyat harus dihormati tanpa kompromi, setiap hak harus diberikan dan dikembalikan kepada yang berhak, dan segala sesuatu harus diletakkan tepat pada tempatnya. Demi keadilan politik, Melayu harus komited terhadap tuntutan pemerataan kuih negara. Untuk itu harus ada langkah konkrit merapatkan jurang-jurang sosio-ekonomi yang selama ini dibiarkan melebar apabila kekayaan negara dikaut dan disikat oleh beberapa kerat individu tertentu. Jurang perbezaan yang menyolok akan menumbuhkan kecemburuan sosial dan seterusnya akan meledakkan konflik yang serius. Kerana itulah dalam tamadun Melayu wujud kesedaran yang tinggi mewaspadai jarak dan jurang sebagaimana yang terungkap dalam kata pusaka:
Yang didahulukan selangkah,
yang ditinggikan seranting,
yang dilebihkan serambut,
yang dimuliakan sekuku.
Politik Melayu memerlukan pendewasaan di samping penyegaran dan pemugaran idealisme dengan agenda yang jelas, bukan sekadar merendah riuh rendah perebutan kuasa. Dalam situasi sekarang, politik Melayu harus meletakkan politik perpaduan ummah dan politik pemerkasaan (pemberdayaan) bangsa sebagai agenda besarnya. Dalam kaitan ini Islam difungsikan sekali lagi sebagai kekuatan pemersatuan dan pemberdayaan (unifying and empowering force). Ini sekaligus adalah ujian terhadap kualiti dan jiwa besar kepimpinan politik Melayu hari ini.
(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan munkar, dan kepada Allah—lah kembali segala urusan.
Surah Al-Hajj :41
Penyataan Tokoh dalam Perhimpunan Agenda Melayu, di Anjung Rahmat, 8 mac 2004.
...........copy and paste
"Aku ke mari dgn tangan kosong, menadah harapan dgn tangan terbuka, memohon maaf dgn tangan terhulur . Setiap waktu dan tika."
Diskusi