Munafikkah Aku?

Oleh Sal
2004-04-05 19:44:05

Deprecated: preg_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /home/server/mymasjid.net.my/modules/articles/article.display.php on line 51
Sahabatku sekelian,

Menjadi kafir betul, sudahlah dapat kita atasi lantaran sudah terang bahawa itu adalah lawan kepada mukmin. Apa yang sulit sekali ialah kafir dengan topeng Islam. Cubalah kita hayati Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah Ayat 8 - 20. Terdapat 12 ayat yang Allah SWT huraikan dengan jelas mengenai sifat munafik. Bukanlah, maksud ayat-ayat tersebut menceritakan keadaan munafik Yahudi dan munafik Arab Madinah hanya sekadar cerita tetapi untuk menjadi cermin perbandingan bagi kita umat Muhammad SAW bagi kita muhasabah jiwa kita sendiri sebagai pepatah ahli tasauf: "Hitunglah dirimu, sebelum kamu di hitung".

Janganlah kita dengan mudah menuduh orang lain munafik tetapi perhatikan pada jiwa kita sendiri, kalau-kalau penyakit ini ada pada kita, entah sikit, entah banyak. Tidakkah kita merasa takut atau bimbang kalau-kalau ada sekelumit rasa munafik dalam hati ini. Tafakurlah selalu, kita fikirkan bagaimana seorang sahabat Rasulullah SAW yang besar, Sayyidina Umar bin Khattab (Redha Allah SWT atasnya) yang selalu bertanya kepada seorang sahabat yang lain yang alim tentang penyakit jiwa manusia, yaitu Huzaifah bin al-Yaman; "Huzaifah, beritahu aku, mungkin padaku ada sifat-sifat munafik yang aku sendiri tidak sedar."

Siapa Umar al-Khattab? dan siapa kita? Antara kita dan Umar al-Khattab seperti langit dan bumi layaknya. Tapi pernahkah kita membuat pertanyaan seperti beliau?

Bertanyalah pada diri masing-masing adakah selama hidup ini kita hanya berpura-pura berlakon menjalani hidup sebagai seorang mukmin tetapi masih ada sebesar zarah didalam hati sikap jiwa yang menolak, ragu-ragu, lain dimulut lain dihati yang menjadikan hidup kita terkatung-katung tiada pendirian yang teguh.

Wajiblah kita perhatikan betul-betul adakah dalam diri kita ada sifat-sifat munafik sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud; "Dari Abdullah bin Amr r.a, sabda: "Ada empat sifat bila terdapat pada diri seseorang, maka dia adalah munafik sehingga ditinggalkannya sifat-sifat itu: 1) Apabila berbicara, dia dusta, 2) Apabila bersumpah setia, dia khianat, 3) Apabila berjanji, dia mungkin, 4) Apabila bermusuhan, dia kejam" - Sahih Muslim.

Awaslah wahai setiap diri kerana dalam menjalani kehidupan seharian kita sentiasa diuji, kita selalu keliru dalam membuat pilihan antara kebenaran dan kesesatan. Kekayaan melimpah dan keluarga sering menjadi fitnah dan pertaruhan dalam mempertahankna iman. Dalam menegakkan kalimah tauhid, marilah kita bulatkan cinta kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SWT.

Mudah-mudahan kita dihindari Allah SWT dari sifat-sifat munafik. Munajatlah selalu kepada Allah SWT agar kita dihidupkan dalam sinar iman dan diakhirkan hayat kita juga sebagai mukmin sejati.

wahai diri, munafikkah aku?

(buat "dia" yang aku hormati, aku tak sanggup untuk berdusta, apalagi untuk membantu berbuat sesuatu yang mendatangkan "fitnah" dan "dosa" kerana kebenaran itu akan terserlah juga akhirnya, maafkan aku)


Kepada ALLAH diri berserah, serta mengharap rahmat melimpah. Qada dan qadar diterima mudah. Serta diucap Alhamdulillah.

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my