: preg_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in

jamiiaaann,
(SURAH AL-BAQARAH
AYAT 163 & 164)
Terjemahan:
``Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; Tiada Tuhan yang berhak disembah selain daripada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.'' - Ayat 163
``Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang dan pada kapal-kapal yang belayar di lautan dengan membawa barang-barang yang bermanfaat kepada manusia.
``Demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit, lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya serta Allah biakkan padanya daripada berbagai-bagai jenis binatang.
``Demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah terapung-apung antara langit dengan bumi. Sesungguhnya pada semuanya itu adalah tanda-tanda yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya dan keluasan rahmat-Nya bagi golongan yang mahu menggunakan akal fikiran.'' - Ayat 164
Tafsiran:
Di dalam ayat ini Allah menyatakan keesaan-Nya. Hanya Dialah yang Maha Esa. Tunggal tiada sekutu bagi-Nya, setara atau bandingan-Nya. Dia yang Esa, Tunggal yang dihajatkan oleh semua makhluk-Nya, yang bersifat Pemurah menunaikan hajat makhluk-makhluk-Nya.
Di dalam At-Tafsir Al-Munir oleh Dr. Wahbah Az-Zuhaili ada menjelaskan mengenai kupasan kalimah `La ilaha illa hua' itu mengandungi maksud menafikan dan memperakui, iaitu menafikan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah dan memperakui bahawa kecuali yang disembah hanyalah Allah s.w.t. sahaja. Ini berkaitan dengan kekuatan pada akidah dan keimanan terhadap keesaan Allah.
Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Sesiapa yang di akhir kalamnya (ajalnya) menyebut `La ilaha illallah' akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga.''
Maksudnya di sini ialah yang mengakui keesaan Allah dengan hatinya dan bukan sekadar ucapan di mulut sahaja. Sekiranya seseorang itu hampir ajalnya kemudian ia hanya sempat mengucapkan kalimah `La ilaha' kemudian ia mati dan hatinya masih tetap mengakui keesaan Allah, maka akan tetap digolongkan ke dalam golongan ahli syurga dan ini adalah pendapat yang disepakati oleh ulama Ahli Sunnah.
Seterusnya di dalam ayat 164 Allah menjelaskan bahawa kejadian langit tinggi, luas terbentang di samping bulan, bintang dan matahari kemudian bumi serta semua yang ada di atasnya, bukit-bukau, sungai dan lautan, malam dan siang silih berganti juga bahtera yang belayar di lautan, angin yang bertiup dan awan yang beredar serta tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang hidup melata sebagai bukti kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t. dan hanya Allah s.w.t. sahaja yang mampu mencipta kesemua makhluk-makhluk ini.
Terlalu banyak rahsia bagaimana dan mengapa Allah menciptakan semua makhluk ini. Di antara yang boleh kita ambil sebagai contoh iaitu penciptaan angin yang bertiup sebagai sumber udara kepada makhluk yang hidup seperti manusia dan haiwan.
Angin merupakan nikmat kehidupan yang begitu besar kepada semua makhluk di muka bumi ini. Walaubagaimanapun adakalanya angin akan menjadi ancaman kepada alam.
Ini akan berlaku sekiranya agin bertukar menjadi ribut atau taufan yang boleh menyebabkan berbagai-bagai kerosakan kepada alam. Sebab itulah Nabi s.a.w. pernah berdoa ketika berlaku angin kencang: `` Ya Allah, jadikanlah angin ini yang bertiup lembut dan jangan jadikan angin ini angin yang kencang.''
Selain daripada itu penciptaan awan juga mengandungi banyak rahsia yang tersembunyi yang masih belum diketahui oleh manusia.
Ka'ab Al-Akhbar pernah berkata: ``Awan merupakan penapis hujan, sekiranya tidak ada awan seketika air hujan turun dari langit, maka akan rosaklah apa-apa yang ditimpa oleh hujan di atas muka bumi ini.''
Ini semuanya hanya dapat dirasai oleh mereka yang mahu berfikir dan meninjau alam ciptaan Allah s.w.t. Hasil daripada tinjauan ini akan menambahkan lagi keyakinan kita kepada Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang maha berkuasa dan mampu mencipta apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Semuanya ini sebagai bukti keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t.
Sebab-sebab turun ayat:
1. Diriwayatkan oleh Said bin Mansur di dalam Sunannya, Al-Faryabi dalam tafsirnya dan Al-Baihaqi di dalam Kitab Syu'bul Iman yang bersumber daripada Abid Ad-Duha dikemukakan bahawa ketika turun ayat 163, kaum musyrikin terkejut dan tertanya-tanya : ``Apakah benar Tuhan itu tunggal?'' Jika benar demikian, berikanlah kepada kami bukti-buktinya!'' Maka turunlah ayat 164 bagi menegaskan adanya bukti-bukti keesaan Tuhan.
2. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Marduwaih yang bersumber daripada Ibnu Abbas dikemukakan bahawa kaum Quraisy berkata kepada Nabi s.a.w. : ``Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan Bukit Safa gunung emas sehingga kita dapat memperkuatkan diri melawan musuh dan dapat mengakui kebenaran ajaran Muhammad.''
Maka Allah terus menurunkan wahyu kepada Nabi bahawa permintaan mereka akan dikabulkan dengan syarat jika mereka kufur setelah Allah menunaikan permintaan mereka, mereka akan diazab oleh Allah dengan seksaan yang belum pernah diberikan kepada umat-umat lain di alam ini.
Maka Nabi s.a.w. bersabda : ``Wahai Tuhanku, biarkanlah aku dengan kaumku. Aku akan mengajak mereka sehari demi sehari.'' Maka turunlah ayat 164 di atas bagi menjelaskan mengapa mereka meminta Bukit Safa menjadi emas, padahal mereka mengetahui banyak tanda-tanda lain yang luar biasa daripada itu.
Pengajaran:
1. Pengucapan kalimah `La ilaha illallah' oleh seseorang dengan diakui oleh hatinya dan dibuktikan dengan amalannya merupakan tanda keIslamannya dan jaminan untuk masuk ke syurga. Ini juga terdapat di dalam rukun Islam yang menjadi syarat kepada keIslamannya diperakui dan diterima Allah.
2. Penciptaan segala jenis makhluk di alam ini merupakan bukti yang jelas tentang keesaan Allah sebagai Tuhan yang berkuasa mencipta segala benda dan sebagai bukti penafian bahawa tidak ada kuasa-kuasa lain yang boleh melakukan sedemikian rupa.
3. Kita disarankan supaya gemar memikirkan kejadian-kejadian ciptaan Allah dan dilarang memikirkan Dzat Allah sebagai usaha untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t.
Ya Allah,adakah aku ini hamba-MU yang layak untuk merindui syurgaMu.Tak t'daya rasanya menuju ke situ lantaran godaan syaitan & hawa nafsu.