Pahala Terakhir Seorang Isteri ...

Oleh serikandi
2003-07-30 11:34:38

Deprecated: preg_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /home/server/mymasjid.net.my/modules/articles/article.display.php on line 51
Pahala Terakhir Seorang Isteri

Peristiwa yang menimpa diri saya kira-kira dua tahun yang lalu sering
datang meragut ketenangan yang cuba di pupuk hari demi hari. Saya selalu
kecundang. Justeru saya masih belum dapat memaafkan kesalahan yang telah
dilakukan. Kesalahan yang disangka ringan, tetapi rupa-rupanya mendatangkan
rasa bersalah yang tidak pernah berkesudahan hingga ke hari ini.

Ingin saya paparkan peristiwa yang menimpa diri ini untuk tatapan anda
sekalian, untuk dijadikan teladan sepanjang hidup. Untuk pengetahuan semua,
di kalangan sahabat-sahabat dan saudara-mara, saya dianggap sebagai seorang
isteri yang baik. Tetapi keterlaluan jika dikatakan saya menjadi contoh teladan seorang isteri bekerja yang begitu taat berbakti kepada suami.
Walau bagaimana penat dan sibuk sekalipun, urusan rumahtangga seperti
melayan suami dan menguruskan anak-anak tidak pernah saya abaikan.
Kami di anggap pasangan romantik. Suami saya seorang lelaki yang amat
memahami jiwa saya, berlemah lembut terhadap keluarga, ringan tulang untuk
bersama-sama menguruskan rumah apabila pulang dari kerja dan lain-lain
sifat yang baik ada pada dirinya. Waktu sembahyang dan waktu makan
merupakan waktu terbaik untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan
sembahyang berjemaah dan makan bersama. Pada waktu inilah biasanya beliau
akan memberi tazkirah dan peringatan kepada kami agar menjadi hamba yang
bertakwa.
Dari sudut layanan seorang isteri terhadap suami, saya amat memahami akan
kewajipan yang harus ditunaikan. Itulah peranan asas seorang isteri
terhadap suaminya. Allah menciptakan Hawa semata-mata unutk melayan Adam
dan menghiburkannya. Meskipun syurga dipenuhi dengan kekayaan dan
kemewahan, namun tidak mampu mengisi jiwa Adam yang kosong melainkan dengan
diciptakan Hawa. Oleh itu saya menganggap tugas mengurus rumahtangga,
mengurus anak-anak dan bekerja di pejabat adalah tugas nombor dua setelah
tugas pertama dan utama, iaitu melayani suami. Sebagai seorang yang juga
sibuk di pejabat, adakalanya rasa penat dan letih menghambat sehingga saya
pulang ke rumah. Tetapi saya bersyukur kerana suami amat memahaminya.
Berkat tolong-menolong dan bertolak-ansur, hal tersebut tidak pernah menjadi masalah di dalam rumahtangga. Bahkan sebaliknya menumbuhkan rasa
kasih dan sayang antara satu sama lain kerana masing-masing dapat
menerimanya dan mengorbankan kepentingan masing-masing.

Sehinggalah tiba pada satu hari yang mana pada hari itu datangnya ketentuan
Allah yang tidak dapat diubah oleh sesiapa pun. Hari itu merupakan hari
bekerja. Agenda saya di pejabat amat sibuk, bertemu dengan beberapa orang
pelanggan dan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu disiapkan pada hari
itu juga. Pukul lima petang saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Penat
dan letih tidak dapat digambarkan.
Apabila sampai di rumah, saya lihat suami telah pulang dari pejabat. Dia
telah membersihkan dirinya dan sedang melayani anak-anak, bermain-main dan
bergurau senda. Dia kelihatan sungguh gembira pada pada petang itu. Saya begitu terhibur melihat telatah mereka, kerana suasana seperti itu
jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing penat. Suami
sedar
saya amat penat pada hari itu. Oleh itu dia meminta agar saya tidak
memasak, sebaliknya mencadangkan agar kami makan di sebuah restoran makanan
laut di pinggir bandar. Dengan senang saya dan anak-anak menyetujuinya.
Kami pulang ke rumah agak lewat, kira-kira jam 11 malam. Apa tidaknya, kami
berbual-bual panjang ketika makan, bergurau-senda dan usik-mengusik.
Seperti tiada hari lagi untuk esok. Selain anak-anak, suami sayalah orang
yang kelihatan paling gembira dan paling banyak modal untuk bercakap pada
malam itu. Hampir jam 12 barulah masing-masing merebahkan badan di katil.
Anak-anak yang kekenyangan segera mengantuk dan lelap. Saya pun hendak
melelapkan mata, tetapi belaian lembut suami mengingatkan saya agar tidak
tidur lagi. Saya cuba menggagahkan diri melayaninya, tetapi hati saya hanya
separuh saja jaga, separuh lagi tidur. Akhirnya saya berkata kepadanya
sebaik dan selembut mungkin, "Abang, Zee terlalu penat," lalu saya
menciumnya dan memberi salam sebagai ucapan terakhir sebelum tidur.
Sebaliknya suami saya terus merangkul tubuh saya. Dia berbisik kepada saya
bahawa itu adalah permintaan terakhirnya. Namun kata-katanya itu tidak
meresap ke dalam hati saya kerana saya telah berada di alam mimpi. Suami
saya perlahan-lahan melepaskan rangkulannya.
Keesokannya di pejabat, perasaan saya agak idak menentu. Seperti ada perkara yang tidak selesai. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab.
Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka sama sekali -
panggilan dari pihak polis yang menyatakan suami saya terlibat dalam
kemalangan dan dikehendaki datang segera ke hospital. Saya bergegas ke
hospital, tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi
suami saya dan saya tidak sempat bertemunya. Meskipun redha dengan
pemergian suami, tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis
dari hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir kehidupannya di
dunia ini.
Hakikatnya itulah pahala terakhir untuk saya sebagai seorang isteri. Dan
yang lebih saya takuti sekiranya dia tidak redha terhadap saya pada malam
itu,
maka saya tidak berpeluang lagi untuk meinta maaf daripadanya.
Sabda Rasulullah s.a.w, "Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada
seorang suami yang mengajak isterinya tidur bersama di tempat tidur,
tiba-tiba di tolak oleh isterinya, maka malaikat yang di langit akan
murka kepada isterinya itu, hingga dimaafkan oleh suaminya." Sehingga kini,
setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya akan mengalir ke pipi.
Saya akan bermunajat dan memohon keampunan daripada Allah. Hanya satu cara
saya fikirkan untuk menebus kesalahan itu, iaitu dengan mendidik anak-anak
agar menjadi mukmin sejati. Agar pahala amalan mereka akan mengalir kepada ayah mereka. Hanya itulah khidmat yang dapat saya berikan sebagai
isterinya.
Itulah harapan saya ...semoga Allah perkenankannya.

Diskusi

Komen anda
webmaster@mymasjid.net.my