Deprecated: preg_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in
/home/server/mymasjid.net.my/modules/articles/article.display.php on line
51
NABI Muhammad s.a.w. melarang seseorang yang menahan untuk membuang air
kecil atau besar serta seseorang yang memakai kasut yang sangat sempit
daripada mendirikan solat kerana semua perkara itu mengganggu kekhusyukan solat.
Orang yang sedang lapar juga dilarang bersolat, begitu juga bersembahyang dalam keadaan menutup mulut dengan kain. Pengertian lapar itu dapat
disamakan dengan orang yang mempunyai keperluan sangat penting. Jadi,
orang yang lapar hendaklah makan manakala yang memiliki keperluan
hendaklah menyelesaikannya terlebih dulu.
Larangan solat bagi orang yang lapar dapat dikupas daripada hadis yang
bermaksud: ..."Apabila hidangan makan malam telah datang (disediakan)
dan solat sudah dibunyikan iqamatnya, maka mulailah dengan makan malam
dulu." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Larangan menutup mulut dengan kain ketika solat itu diambil daripada
hadis yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w. melarang apabila seseorang itu
menutup mulutnya di waktu solat." (Riwayat Hakim).
Al-Hassan berkata: "Semua solat yang didirikan pada ketika hati tidak
dihadirkan sama yakni hatinya lalai dan leka, maka hal yang sedemikian
itu adalah lebih cepat untuk mendatangkan seksaan."
Perbuatan makruh ketika solat termasuk meniup tanah ketika sujud atau
meratakan susunan batu-batu kecil (kerikil) dengan tangannya serta
menyandarkan badan ke dinding ketika sedang berdiri.
Sebahagian sahabat Rasulullah s.a.w. berkata: "Ada empat perkara yang
jika dilakukan ketika sembahyang maka termasuk dalam perbuatan lalai
iaitu menoleh-noleh, mengusap muka, meratakan batu-batu kecil dan
bersembahyang di jalanan di mana pandangannya menjadi lalu lintas orang lain."
Perbuatan sunat ketika solat termasuk mengangkat kedua-dua tangan
ketika mengucapkan takbiratul ihram, ketika turun untuk rukuk, ketika bangun
daripada rukuk serta duduk untuk mengucapkan tasyahhud pertama.
Melakukan tawarruk (duduk di atas kaki sewaktu tasyahhud akhir) dan
melakukan iftirasy (duduk di atas tapak kaki kiri ketika tasyahhud
pertama) termasuk dalam tertib solat ketika duduk. Manakala meninggalkan
perbuatan menoleh adalah tertib bagi cara berdiri.
Perkara sunat dari segi zikir pula adalah membaca doa Iftitah,
ta'awwudz, mengucapkan Amin, membaca surah lain selepas al-Fatihah, membunyikan
takbir perpindahan, membaca zikir ketika rukuk, sujud, i'tidal,
tasyahhud pertama, selawat ke atas Nabi dalam tasyahhud pertama, doa dalam
tasyahhud akhir dan ucapan salam yang kedua.
Sebagai Muslim, kita perlu mengetahui bahawa solat itu bagaikan manusia
iaitu bahawa roh dan hidupnya adalah bergantung kepada kekhusyukan.
Jadi, kehadiran hati dan keikhlasan bagaikan roh manusia serta
kehidupannya.
Manakala rukun solat pula sebagai hati, kepala dan jantungnya kerana
tanpa rukun, solat tidak bererti seperti manusia yang tidak mempunyai
hati, kepala dan jantung.
Perkara sunat dalam solat pula umpama kedua-dua tangan, mata serta kaki
kerana tanpa semua itu, seseorang manusia tetap dapat hidup tetapi
anggota badannya tidak lengkap dan dapat menimbulkan celaan kerana tidak
mempunyai anggota berkenaan.
Perkara lain di dalam solat pula dapat diumpamakan sebagai tambahan
kesempurnaan tubuh seperti alis, bulu mata, janggut, warna yang elok dan
sebagainya.
Jadi, jika seseorang itu hanya mencukupkan dirinya dengan mengerjakan
perkara wajib saja di dalam solat, maka samalah halnya dengan seseorang
yang menghadiahkan seorang hamba kepada raja tetapi dalam keadaan yang
kurang sempurna, misalnya kudung kedua-dua tangan dan kakinya.
Sebagaimana diketahui, solat adalah ibadat atau persembahan yang dapat
mendekatkan seseorang itu dengan Maharaja kepada sekalian raja.
Jadi, samalah sifatnya dengan sesuatu benda yang dihadiahkan oleh
seseorang kepada rajanya dengan harapan dapat mendekatkan diri dengan
rajanya itu.
Sedangkan solat adalah persembahan yang ikhlas kepada Allah dan
seterusnya dikembalikan semula serta dipertontonkan kepada orang yang
melakukannya itu pada Hari Kiamat nanti. Oleh itu, hendaklah kita pilih
persembahan paling indah dan bagus dari segi rupa dan bentuk sebelum
mempersembahkannya kepada Allah.
Tetapi, segalanya terpulang kepada diri sendiri, sama ada mahu
mempersembahkan yang paling indah atau atau jelek. Kalau baik, maka kita
sendiri akan mendapat kebaikan itu dan jika jelek pula, maka kita sendiri yang akan menanggung akibatnya.
ingatlah,kita yang harus mengawal hawa nafsu bukannya nafsu yang mengawal diri kita.INGAT!!!KEANGKUHAN HAWA NAFSU TIADA TOLOK BANDINGNYA.
Diskusi